Khamis, 4 Disember 2008

USUL TERSASAR???

Kongres Nasional PKR 2008 berakhir sudah, penuh cerita, penuh sejarah dan banyak lagi. Ucapan ribuan terima kasih kepada Perhubungan Negeri PKR Negeri Johor kerana memberi kepercayaan kepada wakil dari Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor untuk menjadi pembahas negeri pada kongres tersebut.

"Trend" perbahasan kali ini sudah berubah. Pembahas kedua hanya dibenarkan membahas usul ekonomi dan pendidikan sahaja. Kedua usul ini pula dibentang oleh wakil parti sejurus sebelum giliran pembahas sampai. Usul pendidikan sebagai contoh, Pembahas mesti membahaskan usul yang dibentang oleh Dr. Md Nor Manuty selaku wakil parti selepas beliau berucap. Sudah pastilah para pembahas tidak punya ruang waktu yang cukup untuk mengulas, mengupas dan menggulung perbahasan tersebut dalam masa yang cukup singkat. Akibatnya, sebahagian pembahas tersasar dari kehendak urusetia kongres. Apa pun ini satu latihan yang baik agar pembahas sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan.

Saya juga menghadapi senario yang serupa. Pada awalnya urusetia memaklumkan bahawa pembahas negeri Johor akan membahaskan usul ekonomi tetapi ianya ditukar pada saat akhir kepada usul pendidikan. Namun sempat juga saya menggulung hujah Dr. Md Nor Manuty berhubung soal reformasi pendidikan menengah, rendah, agama disamping pendemokrasian pendidikan dan juga isu bahasa inggeris.

Saya juga menggunakan baki ruang waktu waktu yang tinggal untuk menyentuh isu yang berkaitan dengan Johor (WPI). Ada yang tidak berpuashati dengan isu tambahan tersebut malahan ada yang mengatakan ianya tersasar jauh tapi pada fikiran saya Kongres adalah platform terbaik untuk umum mengetahui senario semasa yang berlaku di Negeri Johor. Kedaulatan, Tanah Rezab Melayu & Tanah Adat, Pemmilikan Hartanah untuk warga asing dan isu pekerja asing yang semuanya terkandung dalam perjanjian WPI yang mana ia perlu diberi perhatian serius.

Ucapan ribuan terima kasih kepada MPT Melaka, Sabah dan Sarawak yang memberikan respon positif terhadap usul yang saya bahaskan dan juga isu tambahan tersebut. Lebih mengharukan, kekanda kepada YB Dato' Seri Anwar Ibrahim iaitu Tuan Haji Idrus Ibrahim mencadangkan kepada saya bahawa Isu WPI ini perlu diperhalusi dan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk tindakan lanjut.

Saya bagi pihak AMK Johor amat berbesar hati dengan saranan dan ulasan yang diberikan terutama dari Tuan Haji Idrus sendiri, AMK Johor sentiasa pro-aktif dan peka kepada setiap perkara yang berlaku dan akan sentiasa memberi sumbangan dalam bentuk tenaga, idea dan juga buah fikiran demi mempertahankan kedaulatan dan hak Negeri/Negara tercinta ini.

Nor Azman Hashim
Naib (I) Ketua AMK Johor

Tiada ulasan: