Jumaat, 27 Februari 2009

Pandangan Isu Matematik dan Sains

Saudara yang berkhidmat untuk negara,Besar harapan saya agar pandangan ini dapat difikirkan dengan hati terbuka saudara.Apa kah tidak, lebih wajar pelajaran matematik dan sains diajar di sekolah rendah dan menengah di negara ini dalam dwi-bahasa?Ajarkan pelajaran-pelajaran tersebut dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Anak anak kita akan lebih mengerti apa itu matematik dan apa itu sains untuk teruskan hidup yang bermutu tinggi.Kita mesti terima hakikat bahawa dua mata pelajaran tersebut berperanan besar untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.Ini akan seterusnya meningkatkan martabat negara.Mengapa dwi bahasa akan lebih berkesan?
Saudara tentu tahu bermacam macam kelebihan yang ada dengan mengambillangkah yang saya maksudkan ini.Saudara fikirkan lah sendiri.Saya sangat yakin bahawa apabila pelajaran pelajaran ini diajar dalam dua bahasa, pemahaman nya akan meningkat dan lebih mudah untuk anak anak kita megetahui apa yang sedang mereka pelajari.
Kemungkinan besar ini akan buat mereka lebih minat untuk mempelajari nya. Lagi pun mereka akan mengulang kaji perkara yang sama, cuma dalam lain bahasa saja.Ingatan mereka akan bertambah kuat dalam mata pelajaran tersebut.Hentikan lah kelakuan yang mempolitikkan pendidikkan anak anak kita oleh mereka yang tidak tahu tanggung jawab.
Apabila pelajar pelajar tiba masa untuk ke institusi pelajaran tinggi, mereka boleh lah pilih bahasa yang mereka suka untuk teruskan pelajaran.
Saya akui ini melibatkan kos dan kekurangan tenaga pengajar..Untuk atasi perkara ini, saya berpendapat bahawa pelajaran seperti sejarah dan kajian tempatan atau mana mana pelajaran seumpama nya yang perlu berkorban, demi martabat negara, boleh dihentikan terus atau buat sementara .Apa apa mata pelajaran yang intinya boleh disama dengan inti inti buku cerita boleh dibaca sendiri oleh pelajar pelajar sebagai hobi atau penambahan pengetahuan sendiri. Tidak perlu dijadikan sebahagian daripada sukatan mata pelajaran sekolah.
Tenaga pengajar yang berkaitan dengan pelajaran yang dihentikan boleh lah diserapkan untuk mengajar matematik dan sains kerana mereka hanya membuat alih bahasa dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris atau sebaliknya, mengikut kemahiran bahasa tiap individu tenaga pengajar yang terlibat.Satu kelas diajar dalam bahasa Melayu oleh seorang guru dan satu kelas kemudian diajar dalam bahasa Inggeris oleh guru lain.
Jika seorang guru itu mahir dalam kedua dua bahasa misalannya,mungkin beliau dapat mengajar satu sessi kelas sains dalam Bahasa Melayu dan satu sessi yang lain dalam Bahasa Inggeris.Jika kita mahu menjadi negara maju, rakyat mesti mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam matematik dan sains selain daripada mata pelajaran penting yang lain seperti ilmu keagamaan.Ajar lah matematik dan sains dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris!

Ikhlas dari:
seinmal 1954

Kenyataan Media Ketua AMK Nasional

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
25 Februari 2009
Jika Mahu Terus Jadi 'Lembu', SPRM Perlu Isytihar Jadi Parti Komponen Baru BNHari ini, Rabu bersamaan 25 Februari 2009, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengambil keputusan untuk menghadiahkan seekor lembu khusus buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda 'penghargaan yang tinggi' di atas 'kebebasan dan integriti' yang telah diamalkan oleh badan tersebut.Semalam, tatkala menyampaikan ucapan perasmian pelancaran SPRM, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggesa agar badan tersebut bersikap adil, saksama dan profesional dalam sebarang tindakan yang diambil bagi menjamin integriti dan imej badan tersebut sebagai sebuah badan bebas.Tetapi sepanjang dua bulan berlalu sejak SPRM dinaik taraf menjadi sebuah suruhanjaya, pelbagai kecelaruan telahpun timbul. Dalam keadaan puluhan malah ratusan laporan rasuah yang dikemukakan kepada badan tersebut dibakulsampahkan tanpa sebarang status, dua laporan rasuah yang mengkal sifatnya yang merujuk kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim berikutan kes penyelenggaraan kenderaan peribadi beliau dan juga pengagihan lembu korban sempena Eiduladha tahun lepas di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.Penyelewengan yang dilakukan oleh SPRM ini, sebagaimana yang telah ditegaskan oleh AMK beberapa hari lepas, sangat bertepatan dengan kronologi usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan beberapa siri percaturan jahat yang direncana oleh Umno-BN khususnya di Selangor.Sebagai contoh dalam kes yang melibatkan rasuah oleh ADUN Umno-BN Lenggeng, Mustafa Salim dan juga kes rasuah politik pemilihan Umno yang melibatkan Ahli MT Umno, Norza Zakaria; kedua-duanya disorokkan identiti daripada pengetahuan umum. Bukan ini sahaja, malah banyak lagi kes yang telah dikemukakan baik oleh AMK mahupun komponen Pakatan Rakyat lainnya yang mempunyai asas yang kukuh dipinggir begitu sahaja tanpa sebarang status.Tetapi dalam kes Tan Sri Khalid, dalam keadaan Kertas Siasatan yang masih berstatus rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), Ketua Pesuruhjaya SPRM telah bersifat mendahului mahkamah untuk memulakan pendakwaan ke atas Tan Sri Khalid. Sedangkan asas-asas yang dijelaskan SPRM sebagaimana yang dilaporkan oleh media arus perdana, lebih banyak memalitkan Umno-BN di atas penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana dan instrumen kerajaan yang berleluasa sejak 50 tahun lamanya.
Profesionalisme apa yang dijulang SPRM, dalam keadaan sebarang kes yang melibatkan ahli Umno-BN tidak didedahkan kepada umum, sebaliknya asal saja wujud satu kes - meskipun tidak berasas - yang melibatkan Pakatan Rakyat, maka gegak gempitalah seluruh Malaysia dengan canang SPRM untuk melakukan pendakwaan segera.Justeru, lembu yang 'dihadiahkan' oleh AMK kepada SPRM ini bukanlah bersifat singgungan politik murah, sebaliknya ia perlu menjadi batu tanda dan pengajaran buat SPRM agar mereka tidak berterusan menjadi 'lembu yang dicucuk hidung' khususnya oleh Umno.Ini juga wajar menjadi peringatan buat SPRM, bahawa sebarang salahlaku yang dilakukan oleh mereka tidak pernah padam daripada ingatan rakyat, dan akan terus menjadi bahan bualan di sana sini.Tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh SPRM atau dulunya Badan Pencegah Rasuah (BPR) jelas mengambarkan rendahnya profesionalisme mereka dalam usaha membasmi rasuah. Pendakwaan selektif yang berleluasa hanya memberi gambaran bahawa jenayah rasuah akan menjadi semakin parah dan rakyat akan terus teraniaya tanpa pembelaan.AMK berpendapat, sekiranya SPRM terus-menerus merelakan diri mereka menjadi 'lembu' kepada Umno-BN, maka Ketua Pesuruhjaya SPRM wajar membuat perisytiharan agar SPRM akan didaftarkan menjadi satu komponen baru di dalam Barisan Nasional kelak.Tidak ada gunanya sebarang penaiktarafan yang kelihatan indah di pandang mata, jika SPRM masih lagi bergelumang dengan salahlaku yang jelek dan berterusan menyalahgunakan kuasa mereka demi melampias hawa nafsu pimpinan Umno-BN.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
KetuaAngkatan Muda Keadilan Malaysia

KENYATAAN AKHBAR PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR26 FEBRUARI 2009
PNSB MESTI MENYERAHKAN KEUNTUNGAN YANG TIDAK DIISYTIHARKAN KEPADA LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI

Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated) hari ini mengarahkan Permodalan Negeri Selangor (PNSB) supaya menyerahkan senarai lengkap faedah dan kemudahan yang diberikan kepada kalangan pekerjanya pada tahun-tahun lepas kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Arahan tersebut dikeluarkan berikutan penemuan bahawa PNSB tidak mengisi borang-borang EA bagi mengisyhtiharkan keuntungan beberapa tahun lalu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim, yang juga pengerusi MBI dan PNSB, berkata langkah tersebut dilakukan bagi memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri tidak mengingkari undang-undang supaya membayar cukai pendapatan.
Selama beberapa tahun PNSB ada memberikan faedah dan keuntungan kepada para pekerjanya – termasuk Pengerusinya, ahli-ahli Lembaga Pengarah – dalam bentuk barangan atau wang tunai, atau dua bentuk pemberian tersebut. Antaranya, kereta dan pemandu, di samping percutian di dalam dan luar negara. Faedah melancong diberikan kepada semua kakitangan manakala kereta berpemandu diberikan hanya kepada Ketua Eksekutif dan Pengarah, kalangan pengurus kanan dan kalangan pengurus.
Sekumpulan penasihat lantikan MBI kini sedang melakukan penilaian terhadap prestasi PNSB. Dalam proses tersebut, didapati pengerusi sebelum ini Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pernah diberikan kereta Toyota Harrier pada tahun 2005 dan disediakan seorang pemandu pada tahun 2006. Beliau menggunakan kesemua faedah sehingga bersara selaku pengerusi PNSB pada Mac 2008. Walau bagaimanapun, tiada kemudahan ini yang dinyatakan dalam borang EA yang diserahkan oleh PNSB sebelum ini. Juga didapati kemudahan petrol dan penyenggaraan kereta Harrier semuanya ditanggung oleh PNSB.
Dato’ Menteri Besar menyedari tentang keprihatinan kalangan pekerja PNSB sendiri terhadap implikasi kewangan akibat pengurusan PNSB tidak mengisyhtiharkan pendapatan dalam borang EA. Beliau mendesak agar kakitangan PNSB bersabar kerana mereka kini perlu menunggu tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menaikkan tambahan cukai bagi individu yang berkaitan.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

Jumaat, 20 Februari 2009

PENYELENGGARAAN LAMAN AMK JOHOR

Terlebih dahulu pihak kami AMK Negeri Johor meminta maaf diatas penyelenggaran laman ini. Ini adalah berikutan terdapat sedikit permasalahan di peringkat pengurusan laman. Laman ini akan beroperasi seperti biasa dengan kadar segera.

Untuk makluman pengunjung setia, semasa penyelenggaran laman ini pihak kami telah menyediakan satu laman alternatif di http://amkj.blogspot.com

Laman lampiran tersebut dikawal selia terus oleh Ketua Angkatan Muda Johor, Sdr Zabidie bin Abas bagi tujuan diari harian beliau. Semoga dengan adanya laman tersebut dapat memberikan lebih informasi kepada para pengunjung.

Laman rasmi AMK Johor akan beroperasi dengan kadar segera setelah segala masalah diatasi.

Harap maklum.

Sabtu, 7 Februari 2009

SEKILAS PANDANG

Menurut perkara 16(6) Sistem Raja Berpelembagaan Malaysia, Sultan hanya ada kuasa untuk melucutkan jawatan Ahli Mesyuarat Negeri (EXCO) tetapi tidak kepada Menteri Besar. Jawatan Menteri Besar hanya terlucut bilamana pembubaran Dewan Undangan Negeri, undi tidak percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri atau Menteri Besar itu meletak jawatan. Rujukan : "The Constitution & Law of Malaysia"....

Datuk Seri Ir. Nizar bertindak mempertahankan hak rakyat yang memilihnya. Sewajarnya biarlah rakyat Perak menentukan samada beliau akan terus diberi kepercayaan menerajui pentadbiran Negeri Perak atau sebaliknya.

JANGAN DEKATKAN DIRI ANDA DENGAN PENGKHIANAT

Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor memandang serius pengkhianat parti sepertimana berlaku di Perak sehingga menyebabkan suasana politik bercelaru di tambah pula dengan propaganda media yang pro kerajaan yang menggambarkan seolah-olah pengkhianat2 ini sebagai pahlawan/pejuang sebenar.

Perkara ini juga berlaku diserata negeri namun yang malang sekali pengkhianat2 parti ini mendapat kerjasama dari ahli-ahli parti yang menganggap pengkhianat2 ini sebagai dianiaya oleh pimpinan atau pun parti. Pengkhianat ini akan mencari peluang untuk menampilkan dirinya sebagai pembela kepada sesiapa sahaja yang dilihat seperti ditindas oleh kepimpinan parti. Pengkhianat2 ini akan cuba merosakkan hubungan antara ahli2 parti. Mengaku dirinya adalah pejuang namun perjuangannya hanyalah untuk dirinya. Mengaku dirinya "Reformist" namun dia sendiri tidak mampu merubah dirinya. Dia akan merasa puas bila mana hasutannya berjaya meletakkan mereka-mereka yang dihasut ini dibawah tapak kakinya. Sanggupkah kita menjadi mangsa kepada pengkhianat yang tentunya berniat buruk kepada parti.

Jika perkara ini berlaku di dalam Negeri Johor maka mereka-mereka yang di dekati olah pengkhianat ini harus bingkas dan meninggalkan pengkhianat ini sebelum dia terus menerus merosakan parti kita. Seharusnya kita dapat menilai siapakah pengkhianat-pengkhianat ini.

Jumaat, 6 Februari 2009

TAHNIAH KEPADA HJ. ANNUAR SALLEH

Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor merakamkan ucapan Tahniah kepada Tuan Haji Annuar bin Salleh di atas perlantikan beliau sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri Johor yang baru.

Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor mengharapkan kepimpinan beliau mampu merubah dan membangkitkan semula semangat beberapa kepimpinan bahagian yang lesu sejak kebelakangan ini. Kami Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor yakin dan percaya bahawa dengan pengalaman serta latarbelakang akademik yang kukuh, beliau mampu memimpin Parti Keadilan Rakyat di Negeri Johor ini mencapai matlamatnya.

Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor menyokong penuh perlantikkan beliau dan mengharapkan kerjasama erat antara Exco Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor dan Badan Perhubungan PKR Negeri Johor dapat diperkukuhkan lagi serta bergerak bersama bagi memantapkan lagi Parti Keadilan Rakyat di Negeri Johor ini.

Diharap semua Ketua-Ketua PKR Bahagian dan Ketua-Ketua AMK Bahagian dapat memberikan kerjasama yang erat kepada beliau demi merealisasikan matlamat misi dan visi parti.

AMK JOHOR MENYOKONG TINDAKAN DATUK SERI MOHD NIZAR

Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor berpendapat bahawa kemelut politik di Perak sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara yang baik dan aman jika diadakan Pilihanraya Kecil Negeri Perak yang mana dengan cara sedemikian rakyat Perak dapat menentukan sendiri siapakah dan parti manakah yang lebih dipercayai dan diyakini oleh rakyat untuk mentadbir negeri Perak namun tindakan Sultan Perak menidakkan hak rakyat Perak sedikit sebanyak telah menghilangkan kepercayaan rakyat Perak kepada kepimpinan Baginda.

Oleh yang demikian, Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor berpendirian bahawa kami menyokong penuh tindakan YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor berpendapat bahawa biarlah rakyat Perak yang menentukan siapakah yang layak mentadbir Negeri Perak. Kalah atau Menang itu bukan persoalannya yang penting suara rakyat Perak tidak harus dinafikan.