Sabtu, 24 Januari 2009

KENYATAAN MEDIA

Insiden kematian seorang pemuda iaitu Kugan Ananthan 22 tahun di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya ketika dalam tahanan polis amat-amat mengejutkan apatah lagi pihak polis selama ini dianggap sebagai pelindung rakyat. Dipercayai bahawa insiden ini bukanlah pertama kali berlaku dalam sejarah PDRM dan insiden ini juga mengingatkan kita kembali kepada kematian M. Ulaganathan, juga mati ketika dalam tahanan pihak PDRM.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kematian M. Ulaganathan adalah disebabkan kecuaian dan pengabaian melampau pihak PDRM. Berulangnya insiden seperti ini pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kewibawaan pihak PDRM sebagai sebuah institusi keselamatan yang bertanggungjawab melindungi keselamatan rakyat.
Walaupun Peguam Negara dan Ketua Polis Negara telah mengklafikasikan kes ini sebagai kes bunuh dan mengatakan bahawa siasatan sedang dijalankan, kami Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor menuntut dan mendesak agar Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar dan pihak PDRM sendiri memastikan bahawa siasatan ini mestilah adil, bebas dan telus serta berani. Kami juga berharap keputusan siasatan itu nanti boleh memulihkan kembali kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.

Kami Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor bukanlah pelindung atau pembela penjenayah akan tetapi kami membantah sekeras-kerasnya apa juga bentuk kezaliman dan kekerasan yang melampau melibatkan mana-mana individu samada melayu, cina, india, iban atau kadazan. Penahanan dan penyiasatan bagi mengenalpasti keterlibatan mereka dalam apa jua bentuk jenayah perlulah dilakukan mengikut undang-undang dan prosedur penyiasatan yang telah ditetapkan.

Sekian.

Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor

Tiada ulasan: