Kerajaan telah menyatakan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sedang dikaji. Mengapa berdemonstrasi lagi?
Biarlah pandangan dikemukakan secara berhemah. Demonstrasi untuk apa?
Ada kewajarannya seandainya soalan tersebut diajukan oleh kanak-kanak. Namun, soalan tersebut telah dilontarkan seorang Perdana Menteri negara. Maka ia tidak boleh diperlekehkan.
Mengapa berdemonstrasi?
Kerana Teoh Beng Hock, Kugan, Ulaganathan, dan ribuan yang mati dalam tahanan. Mereka tidak mampu untuk berdemonstrasi dan bersuara. Maka, perlunya orang lain untuk bertindak dan bersuara untuk mereka.
Kerana mereka yang nampak macam Lingam, mereka yang berkuasa, mereka yang hartanya pantang didedahkan di bawah matahari, bahkan politikus yang berkuasa untuk membawa perubahan tetapi mendiamkan diri ketika berdepan dengan ketidakadilan, mereka akan terus menggunakan pelbagai kuasa untuk memerintah kita. Mereka semestinya tidak akan berdemonstrasi. Mereka akan mencari seribu cara untuk menghalang demonstrasi.
Kerana mereka yang miskin, yang dipinggirkan, yang ditekan, yang didiskriminasi, malah yang dianiaya, langsung tidak berpeluang untuk mempengaruhi mereka yang berkuasa.
Kerana pendekatan "bertutur dengan penuh hemah" telah digunakan untuk berpuluh-puluh tahun. Sehingga air liur kering-kontang, tidak meninggalkan sebarang kesan. Kerana cadangan reformasi yang penting (termasuk membenarkan demonstrasi aman) yang dikemukakan SUHAKAM dan Suruhanjaya Di-Raja, tidak diterima dan terlaksana. Kerana bayang IPCMC tidak kelihatan, sebaliknya rasuah dan keganasan menular ke setiap pelusuk. Lebih teruk lagi, walaupun banyak nasihat diberikan, namun kerajaan tetap menggunakan RELA untuk menjadikan keadaan lebih parah.
Masih ingatkah "Suqiu"? Suqiu tidak berdemonstrasi, dengan penuh hemah, meminta dan merayu. Apa kesudahannya? Pandangan disampahkan, malah mereka yang tidak pernah berdemonstrasi ini dituduh sebagai pengganas.
Tanya lagi, mengapa berdemonstrasi?
Kerana mereka yang tidak berdemonstrasi disalah-labelkan oleh kerajaan. Mereka dilabelkan sebagai "majoroti yang senyap" (silent majority). Politikus mendakwa bahawa majoriti yang mendiamkan diri itu sebagai petanda sokongan kepada kerajaan, lantas kerajaan perlu mengambil kira kepentingan majoriti ini. Hari ini, antara majoriti yang senyap ini, ramai tidak sanggup mendiamkan diri lagi.
Masih nak tanya mengapa?
Ya, kerana kerajaan yang munafik ini tidak akan berjaya menipu seluruh dunia untuk selama-lamanya. Kerana nepotisme hanya memanfaatkan beberapa kerat orang, yang lain akan terkejut dari tidur satu hari nanti.
Kerana "perkauman" yang dimainkan itu telah terbongkar rahsianya. Ia hanyalah muslihat yang jijik untuk memecah-belahkan masyarakat kita.
Kerana bukan sukarnya untuk menyedari bahawa, mengapa Malaysia yang kaya dengan sumber semula jadi dan tenaga manusia ini, taraf hidup rakyatnya tidak melangkaui Singapura, sebuah pulau kecil tanpa sumber semulajadi?
Kerana negara yang menerima demonstrasi secara aman telah menikmati kekayaan dan kestabilan, atau dalam proses perubahan ke arah yang lebih baik. Negara yang menekan demonstrasi aman secara kekerasan, rakyatnya hidup merana kepapaan.
Juga kerana, Mahatma Gandhi pernah berdemonstrasi. Nelson Mandela pernah berdemonstrasi. Martin Luther King pernah berdemonstrasi. Tunku Abdul Rahman juga pernah berdemonstrasi.
Kerana semakin ramai menyedari, bahawa demonstrasi aman langsung tidak menjejaskan keselamatan negara, hanya menggugat kedudukan mereka yang berkuasa.
Kerana apabila politikus dengan senyuman berkata rakyat adalah tuan kepada kerajaan, ini semuanya pembohongan! Cuba tanya, mana adanya hamba yang menggunakan gas pemedih mata, baton dan gari untuk melayan tuannya?
Kerana, seandainya semua demonstrasi dalam sejarah menemui ajal, maka hari ini, India, Malaysia dan banyak lagi negara yang lain masih merupakan tanah jajahan. Afrika Selatan masih mengekalkan dasar apartheid, Nelson Mandela masih meringkuk di penjara. Malah Barack Obama mungkin masih merupakan seorang hamba di Mississippi, dalam rancangannya untuk melarikan diri.
Kerana maruah dan kebebasan bukan hadiah durian runtuh. Ia perlu diperjuangkan semua orang. Ia ada harganya. Seandainya kita inginkan kehidupan sebagai seorang manusia, kita tidak boleh menjadi penikus untuk seumur hidup.
Soalan mengapa berdemonstrasi umpama soalan yang menanya, mengapa memperjuangkan kebebasan atau kesaksamaan? Yang harus ditanya adalah, mengapa tidak boleh bebas, tidak boleh saksama?
Jadi, persoalannya bukan mengapa berdemonstrasi, tetapi mengapa tidak boleh berdemonstrasi secara aman?
* Yeo Yang Poh ialah bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan