Jumaat, 23 Januari 2009

MUTU BOLASEPAK NEGARA - PERLUKAH PEMAIN IMPORT

Menang - Mustahil, Seri - Nasib, Kalah - Sudah Tentu. Inilah andaian penyokong dan peminat bolasepak negara setiap kali pasukan bolasepak negara beraksi diluar dari kelompok zon asean. Ternyata mereka kurang berkemampuan untuk bersaing di peringkat antarbangsa yang lebih tinggi.
Kekalahan besar skuad kebangsaan kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dibelasah 0-5 di hadapan peminat sendiri sekali lagi seakan-akan memberi petanda bahawa pemain negara masih belum berupaya memberi saingan di peringkat Asia, apatah lagi di pentas dunia dan ianya jelas membuktikan bahawa kualiti bola sepak negara belum boleh dibanggakan dan perlu suntikan ajaib.

Apa yang AMK Johor cadangkan ialah perlunya kemasukan pemain import yang benar-benar berkualiti dalam pasukan kebangsaan Malaysia agar ianya dapat mengimbangi kekuatan pihak lawan. Isu patriotik atau tidak itu bukan permasalahannya. Yang penting sekarang adalah prestasi pemain bolasepak kita sudah terlalu jauh jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan yang negaranya bukanlah semewah Malaysia. Jika sekarang kita berbangga dengan kehebatan Safie Sali sebagai penyerang berbisa negara, di Jepun atau Korea yang pernah kita "lauk"kan dahulu mempunyai ribuan pemain seperti Safie Sali bahkan ada yang lebih baik darinya. Puluhan jutaan ringgit sudah dilabur namun prestasi pasukan kebangsaan tetap di takuk lama. Yang pasti keringat pemain dan pegawai perlu dibayar dengan harga yang mahal namun hasilnya tidak kemana. Sampai bila??? Peminat sudah bosan dengan kekalahan demi kekalahan.... Peminat mula berkira untuk masuk ke Stadium walaupun percuma kerana keputusannya sudah boleh dijangka.

Pegawai-pegawai FAM tidak perlu menegakkan benang yang basah, mencari alasan punca kekalahan. Yang penting sekarang perlunya "REFORMASI" dalam FAM itu sendiri disamping perlunya pemain import diserapkan didalam pasukan kebangsaan. Lihatlah jiran kita Singapura, mereka sudah mula menapak selangkah demi selangkah dan rentak mereka kurang pincangnya ketika berdepan dengan pasukan yang lebih ternama. Jika kita boleh mengimport atlit olahraga dan penembak kenapa tidak dalam bolasepak ??? Kuasa-kuasa bolasepak dunia juga ada mengimport pemain dalam skuad mereka. Jadi apa alasan kita untuk tidak mahu menggunakan khidmat pemain import....???? Yang pasti bila pasukan negara mengalami kekalahan, Jurulatih yang dihambur dengan makian, cercaan dan hinaan. Bagaimana dengan pegawai FAM yang lain??? Hanya FAM yang tahu jawapannya...

Tiada ulasan: